Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Wujud ekosistem pemangkin


Najib Tun Razak disaksikan Ismail Sabri tertarik dengan kucing baka Parsi yang diberi makanan buatan Malaysia semasa melawat Ekspo Beli Barangan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Ismail kamadin


KUALA LUMPUR 17 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antara cabaran besar kerajaan dalam merealisasikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ialah mewujudkan satu ekosistem pemangkin supaya sasaran pertumbuhan pelaburan sektor swasta sebanyak RM115 bilion setahun mampu dicapai.

Sambil mengakui perkara itu bukan mudah kerana nilai sasarannya amat besar, Perdana Menteri berkata, usaha untuk mencapai matlamat tersebut memerlukan pembabitan semua pihak.

"Hasrat kerajaan mewujudkan satu ekosistem yang boleh memangkin pelaburan swasta supaya mencapai sasaran RM115 bilion setahun merupakan satu usaha besar-besaran yang harus disusuli dengan tindakan.
"Justeru, beberapa perkara harus diberikan tumpuan supaya ekosistem yang kita mahukan ini terlaksana antaranya peluang pekerjaan, latihan serta keberkesanan pasaran," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim.

Najib berkata, tumpuan untuk mewujudkan ekosistem berkenaan berkait rapat dengan rancangan kerajaan menjadikan sektor swasta lebih berperanan dalam memacu ekonomi negara.

"RMK-10 telah menggariskan bahawa sektor swasta akan mengambil alih peranan memacu ekonomi negara daripada kerajaan," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, di bawah rancangan itu kerajaan juga berusaha mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini kepada kurang tiga peratus menjelang 2015.

"Melalui RMK-10 kerajaan juga akan berusaha tanpa jemu memastikan taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik terutama bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah," jelasnya.
Najib dalam pada itu berkata, RMK-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru sejajar dengan pengenalan Model Baru Ekonomi (MBE) yang memberi tumpuan kepada penjanaan ekonomi berpendapatan serta mempunyai produktiviti tinggi.

"Dalam RMK-10, pendapatan negara kasar per kapita disasar meningkat kepada RM38,850 (AS$12,140) pada 2015. Ini bermakna kita memerlukan KDNK berkembang enam peratus setahun.

"Oleh itu, pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah, penyerapan kaedah teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi serta pelantar teknologi berkaitan," katanya lagi.

Pada awal ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai pertumbuhan KDNK yang amat memberangsangkan pada suku pertama tahun ini apabila kadar pertumbuhan yang dicatatkan adalah 10.1 peratus berbanding -6.2 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Labels:

0 Responses so far.

Post a Comment