Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Ke arah penambahbaikan kemudahan untuk rakyat


Najib (tengah) meninjau operasi LRT di stesen Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini dan secara rasmi ditubuhkan pada 3 Jun lalu.

Penubuhannya bertitik-tolak daripada kesedaran mengenai pentingnya kemudahan pengangkutan awam yang efisien seterusnya diyakini mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat pada 23 Oktober tahun lepas dan mengikut perancangan awal akan beroperasi pada Oktober ini.


Ketua Pegawai Operasi SPAD, Shahril Mokhtar berkata, suruhanjaya itu dijangka memulakan tugas pada September ini, satu bulan lebih awal daripada perancangan.

"Ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati perkhidmatan pengangkutan yang baik dan jelas ia bukan omongan kosong.

"Kita kini sedang bergerak merangka dasar-dasar untuk memastikan SPAD berjalan dengan lancar untuk mencapai matlamat iaitu perubahan menyeluruh terhadap pengangkutan awam darat bagi keselesaan rakyat," katanya pada satu pertemuan di sini semalam.

Katanya, dengan penubuhan SPAD, akan wujud satu badan yang mempunyai kuasa untuk membangunkan rancangan induk pengangkutan awam darat negara dan wilayah di mana ia akan mengambil kira segala aspek seperti liputan rangkaian dan akses sesuatu perkhidmatan.

Shahril berkata, berpandukan rancangan tersebut, perkhidmatan yang lebih bersepadu akan dapat dicapai manakala Akta Pengangkutan Awam Darat akan memberi kuasa kepada SPAD untuk memperkasakan rejim pengawalseliaan dan penguatkuasaan bagi memastikan segala polisi dilaksanakan dan peraturan serta undang-undang dipatuhi.

Sebagai permulaan, katanya, suruhanjaya itu akan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pengangkutan awam bandar meliputi beberapa perkara berikut.
  1. *Meningkatkan masa perjalanan bas dengan pengenalan perkhidmatan Bas Ekspres Transit dan juga pengenalan semula laluan-laluan bas
  2. *Menyusun semula sistem pengangkutan bas di Lembah Klang
  3. *Menambahbaik lebih 1,000 perhentian bas di Lembah Klang
  4. *Menyatupadukan penggunaan tiket pintar
  5. *Mengawasi piawaian prestasi untuk perkhidmatan pengangkutan awam dalam jangka masa panjang meliputi pembangunan terus perkhidmatan rel bandar dan antara bandar serta pengangkutan untuk kawasan luar bandar.
 Menurut Shahril lagi, penekanan akan diberikan kepada perkara-perkara tersebut agar ia dapat dilaksanakan dengan cekap selaras dengan arahan Perdana Menteri demi keselesaan rakyat.
Kuasa suruhanjaya

Buat permulaan, fungsi suruhanjaya hanya merangkumi Semenanjung Malaysia dan akan dikembangkan ke Sabah dan Sarawak serta Labuan secara berperingkat.

Menurut Shahril, ia kerana sistem pengangkutan awam di tiga negeri terbabit agak berbeza dengan apa yang ditawarkan di semenanjung.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang harus difahami oleh rakyat berhubung kuasa suruhanjaya yang mungkin akan mengubah lanskap pentadbiran pengangkutan awam.

Tambahnya, suruhanjaya juga akan mengeluarkan lesen-lesen untuk pengendali meliputi semua jenis kenderaan perdagangan dan mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Keretapi serta Suruhanjaya Pelancongan dalam pemberian lesen kepada bas pelancong.

"Ini adalah satu keselarasan dalam pelaksanaan kerana sebelum ini, lebih 15 agensi terlibat dalam urusan perancangan, pengawalseliaan dan penguatkuasaan.

"Jadi, melalui suruhanjaya ini, semua keraguan orang awam diharap dapat dikurangkan kerana proses pengurusan dan autonomi untuk memberikan lesen terletak di bawah suruhanjaya ini," katanya.

Apa yang bolehdiharapkan
Rakyat boleh mengharapkan satu titik perubahan yang selama ini seringkali merungut apabila bercakap mengenai pengangkutan awam.

"Kita tidak dapat nafikan, rungutan akan sentiasa ada namun apa yang pasti kita tidak akan berdiam diri dan akan sentiasa bekerja ke arah penambahbaikan.

"Dengan adanya Akta Pengangkutan Awam Darat walaupun tidak sempurna tetapi melalui kajian secara mendalam membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta orang ramai, satu sistem pengangkutan awam yang baik, selamat dan efisien akan dapat diwujudkan.

"Sebelum ini, tidak ada badan khusus, jadi dengan adanya suruhanjaya ini, lebih mudah untuk kita pastikan perkhidmatan yang ditawarkan lebih baik malah apa yang penting, seliaannya akan dibuat.

Perlu sokongan sektor awam dan swasta
Bagi memastikan penubuhan suruhanjaya ini mencapai matlamatnya, kerjasama dua pihak iaitu sektor awam dan swasta sangat diharapkan.

"Pada akhirnya, kita mahu melihat rakyat mendapat manfaat dan harus berbalik kepada matlamat asal penubuhan iaitu rakyat yang merupakan pengguna sistem pengangkutan awam mendapat faedah," katanya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

0 Responses so far.

Post a Comment