Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

MOHD Helmi Md Noor turut mendapatkan bekalan gula, minyak dan 
tepung di sebuah kedai di Kampung Bukit Payung, Pokok Sena, semalam.
MOHD Helmi Md Noor turut mendapatkan bekalan gula, minyak dan tepung di sebuah kedai di Kampung Bukit Payung, Pokok Sena, semalam.
 
Peniaga barangan runcit beberapa negeri masih menjual seperti biasa

KUALA LUMPUR: Usaha Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (PPPBRM) untuk memboikot penjualan barangan kawalan khususnya gula, yang dikatakan tidak mendapat keuntungan setimpal tidak berlaku apabila penjualan barangan berkenaan berjalan seperti biasa di seluruh negara. 

Tinjauan Berita Harian di beberapa negeri mendapati peniaga barangan runcit masih menjual gula, minyak masak dan tepung gandum seperti biasa.
Di ibu negara, tinjauan di pasar raya mendapati bekalan gula masih banyak dan mencukupi tetapi dihadkan sebanyak dua bungkus kepada setiap pengguna.

Peruncit yang ditemui pula rata-rata menyatakan kesukaran mendapatkan bekalan gula daripada pemborong hingga menyebabkan bekalan itu kehabisan.

Di Kuala Terengganu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Mohd Hilmi Mohd Nor berkata, tinjauan mendapati tiada peruncit dan peniaga yang memboikot penjualan barangan kawalan berkenaan.

Katanya, sehingga kini pihaknya mengeluarkan lebih 1,300 Lesen Runcit Barang Kawalan kepada peniaga dan peruncit di seluruh negeri itu.
Di Ipoh,tinjauan yang dijalankan KPDNKK negeri mendapati rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan kesediaan untuk terus menjual gula seperti biasa namun pihaknya akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa.

Pengarahnya, Mokhtar Sulaiman, berkata dakwaan peruncit ingin memboikot penjualan gula mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana barangan berkenaan adalah keperluan asas kepada pengguna dan salah satu faktor keuntungan kepada peniaga.

Di Kuantan, peniaga kedai runcit meneruskan penjualan barang kawalan termasuk gula seperti biasa sekali gus menolak tindakan untuk memboikot seperti digembar-gemburkan PPPBRM.

Tinjauan dilakukan mendapati kebanyakan premis runcit tetap menjual barang kawalan, termasuk gula namun mengehadkan pembelian sebanyak dua kilogram bagi setiap pelanggan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Wan Suhaimi Wan Ibrahim, berkata isu peniaga memboikot dan menyembunyikan bekalan gula serta barang kawalan lain tidak berlaku di negeri ini.

"Sehingga semalam, seramai 1,084 peniaga memohon lesen barangan kawalan terbabit yang juga permohonan tertinggi di negara ini sejak ia dibuka pada 9 Jun lalu.

Di Kangar, Perlis pula masalah bekalan gula tidak berlaku, malah jauh sekali untuk dibelenggu isu boikot seperti yang dicanang Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia berikutan penguatkuasaan lesen runcit oleh kerajaan bermula 1 Julai depan.

Tinjauan di beberapa pasar raya utama di sekitar negeri ini, semalam mendapati bekalan terbabit mencukupi.

Pengarah KPDNKK negeri, Mohd A Aruwan Ab Aziz, berkata sebelum ini terdapat 136 peruncit yang menerima bekalan gula untuk diagihkan kepada pengguna. Kini, jumlah itu ditambah kepada 462 peruncit untuk memastikan proses pengagihan yang lebih berkesan.

Di Alor Setar, peniaga dan peruncit di negeri ini tidak menyertai boikot penjualan barangan kawalan sebagai protes terhadap usaha kerajaan yang mewajibkan mereka mengambil lesen runcit.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Datuk Yusoff Ismail, berkata berdasarkan pertemuannya dengan banyak peniaga sejak minggu lalu beliau mendapati peniaga memahami hasrat kerajaan dan sedia mematuhi arahan itu demi kebaikan semua pihak.

Di Johor Bahru, masalah kekurangan gula kurang dirasai penduduk sekitar bandar raya ini, yang mengamalkan penggunaan berhemah dengan mengehadkan pembelian sekitar dua kilogram.

Sementara itu, Presiden PPPBRM, Lean Hing Chuan berkata, boikot akan diteruskan sebagai tanda bantahan keputusan kerajaan melaksanakan lesen runcit barang kawalan itu.

“Sehingga kini setiap kedai mempunyai sembilan hingga 11 lesen yang perlu dipohon, ditambah dengan lesen ini pula, cukup membebankan peruncit.

“Kami percaya kementerian akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana rakyat yang akan menghadapi kesukaran jika perkara ini berpanjangan.
Kami akan berjumpa dengan KPDNKK Khamis ini yang akan disertai oleh (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Liow Tiong Lai," katanya

Oleh Irwan Shafrizan Ismail, Muhammad Saufi Hassan, Adha Ghazali, Amin Ridzuan Ishak, Mahani Ishak, Kalam Hadi, Nahar Tajri, Faizul Azlan Razak dan Alzahrin Alias
bhnews@bharian.com.my
2010/06/16

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Usahaboikotgulatidakmenjadi/Article

Labels:

0 Responses so far.

Post a Comment