Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Kanak-kanak sebagai satu golongan pengguna sememangnya lebih terdedah kepada berbagai barangan dan produk. Ini sering berlaku kepada mereka yang berumur lima tahun ke bawah. Memandangkan usia mereka yang terlalu muda, selalunya golongan ini kurang cermat atau berwaspada dalam memilih barangan yang sesuai dengan kehendak masing-masing. Lantaran itu, lebih ramai kanak-kanak terdedah kepada barang serta produk yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka dan ini boleh mengancam keselamatan. Kadangkala maut padahnya.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika rata-rata perangkaan menunjukkan bahawa golongan kanak-kanak lebih banyak mengalami keracunan ataupun kecederaan akibat menggunakan barangan tersebut. Bukan sahaja kerana barangan itu tidak selamat, tetapi lebih kerap lagi kerana cara penggunaannya juga tidak selamat. Ini ada kaitan dengan amalan serta tabiat kita seharian apabila menggunakan barang-barang tersebut. Lazimnya kita cuai dan kurang berhati-hati sehingga anak-anak kita sendiri sering terdedah kepada bahaya yang tidak menentu.

Di antara barangan yang didapati selalu mendatangkan kemudaratan termasuklah barangan yang tersimpan di rumah seperti bahan-bahan pencuci dan ubat-ubatan. Barang permainan dan perhiasan juga boleh menjadi sumber bahaya kepada kanak-kanak, walaupun dalam banyak hal, mutu barangan tersebut terjamin. Apa lagi jika barangan itu sendiri tidak selamat daripada segi kualiti dan pembuatannya.

Oleh itu, demi keselamatan kanak-kanak, satu kesedaran dan kepekaan terhadap beberapa bahaya berkaitan bahan barangan serta produk yang ada di pasaran penting dipupuk di kalangan ibubapa/penjaga ataupun kanak-kanak sendiri. Ini adalah sebaik-baik cara untuk mengatasi dan mencegah daripada berlakunya perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan masyarakat kita.

Kesedaran terhadap bahaya ubat-ubatan

Amnya ramai yang beranggapan bahawa bahan ubat-ubatan adalah selamat belaka. Maksudnya ramai menjangkakan yang bahan ubat-ubatan tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan, malah ia pasti berkhasiat belaka. Ini adalah satu anggapan yang kurang tepat malah boleh menyebabkan banyak keadaan yang tidak diingini, memandangkan bahawa ubat-ubatan kebanyakannya terdiri daripada bahan kimia. Dan jika tidak digunakan dengan betul, seperti memakan ubat berlebihan, ataupun tidak mengikut aturan yang telah ditetap, banyak kesan bahaya boleh berlaku. Ubat boleh membahayakan apabila penggunaannya ditukar ganti kepada sesiapa sahaja, walaupun ubat itu adalah kepunyaan orang lain. Tabiat menggunakan ubat seperti ini amat bersalahan dengan tatacara penggunakan ubat.

Berikut adalah beberapa cara untuk menggelakkan berlakunya bahaya berkaitan dengan ubat-ubatan, khususnya bagi kanak-kanak.

  1. Simpan semua ubat berjauhan daripada jangkauan kanak-kanak. Ubat-ubatan seelok-eloknya disimpan dalam almari yang berkunci.
  2. Jangan letak ubat merata-rata terutama jika tidak dalam bekas yang sempurna.
  3. Simpan ubat-ubatan di satu tempat seperti dalam peti sejuk jika perlu, (jangan bekukan) untuk mengelakkan kekeliruan.
  4. Gunakan bekas plastik untuk memudahkan simpanan. Tutup bekas plastik ini jika ianya diletakkan ditempat yang boleh ditemui oleh kanak-kanak.
  5. Sekiranya menghantar kanak-kanak ke tempat asuhan, bawa ubat bersama dalam bekas yang tersimpan dalam beg pakaian dan sebagainya. Jangan masukkan bersama bekas atau beg makanan. Beri ubat itu terus kepada pengasuh secara persendirian.
  6. Jangan biarkan kanak-kanak bersama ubat-ubatan (termasuk vitamin) tanpa kawalan.
  7. Pulangkan ubat yang tidak digunakan lagi kepada penjaga/ibubapa apabila tamat masa asuhan.
  8. Buang semua ubat yang telah habis tempohnya. Jangan simpan ubat yang tidak berguna lagi. Jangan ulangi penggunaan sewenang-wenangnya.
Daripada segi keselamatan produk, para pengguna mesti berwaspada dengan ubat-ubatan tiruan ataupun ubat yang tidak bermutu. Acapkali kita terbaca dalam akhbar bahawa ramai penduduk luar bandar misalnya disogokkan dengan ubat yang tidak bermutu ini. Ubat-ubatan ini selalunya dijual secara lansung dan semasa menjual berbagai "kebaikan" disebutkan oleh para penjual kononnya disokongkan dengan kajian. Dalam hal ini kita harus berwaspada kerana apa juga yang disebut oleh juru jual perlu mendapatkan pengesahan daripada badan-badan bertanggungjawab terlebih dahulu supaya mutu dan keselamatan terjamin. Bagi ubat-ubatan satu nombor pendaftaran akan diberikan kepada pihak pembuat atau pengilang sebelum ianya boleh dijual dan dipasarkan. Nombor ini selalunya bermula dengan huruf "PBKD" (bermaksud Pihak Berkuasa Kawalan Drug, yakni badan yang berwibawa dalam hal ini) dan di ikuti dengan beberapa nombor khas bagi produk itu saja. Kadangkala ia bermula dengan huruf "MAL" (bermaksud Malaysia, iaitu ia berdaftar di negara ini). Ini membuktikan bahawa ubat-ubatan tersebut telah mendapat pengesahan daripada kerajaan dan diakui mutu dan keselamatannya. Tanpa pendaftaran, semua ubat perlu dielakkan, bahkan perlu dilaporkan kepada pihak Kerajaan. Kalau was-was dapatkan pengesahan daripada pihak berwajib terlebih dahulu ataupun hubungi Pusat Racun Negara.

Amalkan tabiat bertanya seperti nama ubat, kekuatan dosnya serta juga nama pengilang atau pengedarnya apabila anda menerima atau membeli ubat. Selain daripada itu tentukan juga apa-apa maklumat khas diperolehi juga. Antaranya adalah seperti kegunaan semasa hamil, atau menyusukan bayi ataupun kesan-kesan sampingan lain. Maklumat seperti ini amat diperlukan semasa kecemasan dan keracunan. Ini boleh membantu menyegerakan rawatan.

Kesedaran terhadap bahaya bahan-bahan pencuci rumahtangga

Seperti ubat-ubatan, kebanyakan rumah ada menyimpan bahan-bahan pencuci, khususnya di kamar-kamar mandi, dapur ataupun setor. Seperti juga ubat-ubatan, ramai yang agak cuai apabila menggunakan bahan tersebut sehingga banyak antaranya terbiar begitu saja - mudah dicapai kanak-kanak. Malah ada yang tersimpan di lantai atau kamar yang tidak berkunci. Kelazimannya, ramai yang beranggapan bahan-bahan ini tidak mendatang bahaya, apalagi setelah digunakan saban hari tanpa banyak keranah. Namun pada hakikatnya bahan-bahan ini tetap merbahaya malah boleh mendatangkan maut.

Contoh-contoh yang dapat diberikan adalah seperti dalam jadual berikut:


Jadual Menunjukkan Bahaya Bahan-bahan Pencuci
Bahan Kesan-kesan tertentu
Soda untuk masak (sodium bikarbonat) Mata: rengsa, kemerahan, nyeri  Tertelan: radang tekak, sakit perut 

Catatan Tambahan
       Boleh bertindakbalas dengan asid

Soda untuk basuh (sodium karbonat) Mata: melecur, penglihatan kabur  Kulit: kemerahan, rengsa 

Tertelan: radang tekak, sakit perut 

Catatan Tambahan
        Boleh bertindakbalas dengan asid

Cecair ammonia (10%) Mata: rengsa, bengkak, rabun  Kulit: melecur, nyeri 

Terhidu: batuk, sakit dada, radang tekak dan hidung 

Tertelan: rasa terbakar pada mulut, tekak dan perut, muntah 

Catatan Tambahan
        Boleh bertindakbalas dengan asid 
        Jangan campur dengan bahan peluntur

Bahan peluntur jenis klorin Mata: melecur, penglihatan kabur  Kulit: kemerahan, nyeri, kering, pecah-pecah 

Terhidu: radang tekak, batuk, sukar bernafas 

Tertelan: radang tekak, muntah, melecur 

Catatan Tambahan 
        Boleh bertindakbalas dengan asid atau haba

Cuka (5% asid asetik) Mata: rengsa  Kulit: rengsa agak ringan 

Catatan Tambahan 
        Boleh bentindakbalas dengan logam

Boraks Mata: rengsa, kemerahan, nyeri  Kulit: rengsa, ruam, pecah-pecah 

Terhidu: batuk, hidung berdarah 

Tertelan: mual, muntah, pening, rosak buah pinggang


Oleh yang demikian, bahan-bahan seumpama ini penting disimpan jauh daripada jangkauan kanak-kanak, di atas para-para misalnya ataupun di tempat berkunci. Tentukan juga setiap bahan tersebut tersimpan dalam bekas asalnya yang berkeadaan bersih dan sempurna, tertutup ketat. Pastikan juga anda ketahui nama atau jenis bahan pencuci tersebut kerana apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini maklumat seumpama ini dapat membantu menyegerakan rawatan.

Sumber: http://www.kpdnkk.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=375&Itemid=424

Labels:

0 Responses so far.

Post a Comment