Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Usaha hijau yang sebenar


YTL turut mempelopori usaha yang membuka ruang kepada golongan muda meluahkan pendapat tentang pemuliharaan alam sekitar. - Gambar hiasan


Sejak kebelakangan ini, usaha ke arah 'penghijauan' menjadi lebih kepada satu ikutan dan bukan kepada usaha padu untuk mencari penyelesaian dalam isu alam sekitar.

Dunia korporat memulakan sesuatu yang mereka sebut 'inisiatif hijau', tetapi mungkin sesetengah tertanya-tanya sama ada ia lebih merupakan kepada usaha mendapatkan pengecualian cukai.

Namun tidak bagi Ruth Yeoh, anak perempuan sulung kepada Tan Sri Francis Yeoh, Pengarah Urusan Kumpulan YTL, yang melihat isu alam sekitar secara terus terang dan terbuka.

Bagi yang masih tidak mengetahui, kumpulan YTL ialah satu daripada konglomerat infrastruktur terbesar di Malaysia dengan syarikat-syarikat di seluruh dunia.


Ruth pula bukan sahaja Pengarah Pelaburan malah mengetuai sendiri bahagian alam sekitar di YTL.
Namun demikian, pendekatan Ruth menangani isu hijau tidak seperti seorang yang memegang jawatan penting dalam konglomerat bertaraf dunia.

Beliau menolak label seperti 'tanggungjawab sosial korporat' (CSR) dan menegaskan isu alam sekitar seperti perubahan iklim ialah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius, sama ada di peringkat korporat mahupun peribadi.

"Misi korporat saya di sini ialah membantu syarikat kami menjadi 'hijau' dengan penuh tanggungjawab. Tugas saya ialah untuk 'membersihkan' semua perniagaan kami.

"Ini bukan sahaja CSR. Ia juga merupakan tadbir urus korporat, kerana kami bukan sahaja memberi laporan tahunan kepada pemegang saham tetapi untuk ketelusan, laporan itu boleh didapati secara on-line agar orang ramai dapat melihatnya pada bila-bila masa.

"Mereka boleh memberi respons terus kepada saya sekiranya ada pandangan atau soalan," kata Ruth dalam temu bual dengan Bernama.

MISI PERIBADI
Latar belakang dalam bidang seni bina dengan pengkhususan dalam reka bentuk organik dan lestari banyak membantu beliau menerapkan usaha ke arah kemapanan planet menerusi kerja yang dilakukannya.
"Saya amat seronok dengan apa yang saya lakukan dan juga menjadikannya misi peribadi saya. Saya seorang yang amat percaya kepada kuasa kemahuan individu. Anda boleh menjadi ejen perubahan sendiri," kata Ruth, yang juga Pengarah Karbon YTL-SV, perunding karbon kredit dan Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) YTL.

Menjelaskan kuasa individu, Ruth mengaitkannya dengan pengalaman beliau menjelajah ke kampung-kampung pedalaman Yunan di China bagi membantu usaha pemuliharaan dan kelestarian.
"Apa yang China sedang lakukan ialah mengimbangi pemuliharaan dan pembangunan. Saya sendiri pergi melawat kampung-kampung kawasan pedalaman di Yunan, di mana mereka tidak mempunyai kemudahan asas dan elektrik.

"Jadi dilemanya ialah menerangkan kepada mereka mengenai perubahan iklim dalam cara yang tidak mengelirukan mereka," katanya.

Ruth berkata beliau secara peribadi menderma AS$2,000 untuk memulakan projek hijaunya dengan membantu mereka membina rumah tanpa mengorbankan banyak pokok.

"Adakah anda tahu bahawa penduduk kampung-kampung di Tibet terpaksa menebang banyak pokok hanya untuk mendirikan sebuah rumah yang gelap, tanpa penebat haba dan perlu dibina semula selepas dua tahun akibat proses pengembangan dan penguncupan kayu?

"Itu bukanlah sesuatu yang bijak, jadi kami memperkenalkan bahan yang lebih mesra alam, bersama-sama pelan dan lakaran dan mencadangkan kepada mereka agar membinanya secara demikian," katanya lagi.
Menerusi bahagian alam sekitar YTL, beliau menerbitkan laporan mengenai aktiviti alam sekitar pertubuhan berkenaan setiap tahun.

Ruth juga mempelopori usaha tahunan YTL iaitu Minggu Perubahan Iklim yang beliau anggap sebagai "hadiah kepada orang ramai".

"Bagi Minggu Perubahan Iklim, kami mengadakan tayangan percuma eko-dokumentari dan filem, ceramah, seminar, mesyuarat dan persidangan. Kami juga mengadakan bengkel untuk remaja dan kanak-kanak agar mereka boleh mengambil bahagian dan menyuarakan pendapat," katanya.

Beliau berkata bahagiannya juga menganjurkan aktiviti Earth Hour dan sambutannya amat menggalakkan hinggakan peserta meminta agar ia diadakan lagi pada masa akan datang.

Dalam sibuk dengan kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar, Ruth sempat menerbitkan buku berkaitan dengan alam sekitar.

Pada 2007, beliau menerbitkan buku berjudul Cut Carbon, Grow Profits: Business Strategies for Managing Climate Change and Sustainability bersama Kenny Tang.

Tang mengetuai lembaga Penasihat Alam Sekitar bagi IPWG - sebuah kumpulan syarikat tenaga boleh diperbaharui dan sisa ke tenaga.

Buku berkenaan menerangkan cara yang boleh diambil oleh syarikat dalam mengendalikan sisa karbon dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, bandar raya, individu dan perniagaan hari ini dalam melestarikan alam sekitar.

Selain itu, Ruth juga ialah ahli lembaga Reef Check Malaysia, yang bertindak bagi melindungi terumbu dan batu karang di Malaysia serta rantau Asia Tenggara. - BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment