Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Sistem RTA jimat kos,mudah dibina


Rumah Bina Sendiri Sistem RTA (ready to assemble) mampu dipasang oleh mereka yang tidak mahir membina rumah.


DAHULU, pada zaman 1970-an hingga ke awal 1980-an masih boleh lihat bagaimana penduduk kampung bergotong-royong membina sendiri rumah mereka.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk pembinaan seperti tiang dan segala perkakasan lain disediakan lebih awal.
Apabila tiba hari untuk mendirikan rumah tersebut, maka penduduk kampung dipanggil berkumpul. Secara beramai-ramai mereka membina rumah tersebut.
Upahnya (bagi penduduk di utara tanah air) cukup sekadar dengan pulut kuning atau pulut ikan masin diikuti dengan doa selamat.

Ketika zaman berubah budaya yang mampu mengeratkan silaturahim itu telah ditinggalkan.
Kini, segala-galanya diupah. Tidak ada lagi sistem bina sendiri secara gotong-royong. Hasilnya, kos membina rumah meningkat.


Namun, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan idea baru yang dapat mengembalikan semangat gotong- royong tersebut.
Penyelidik dari kedua-dua universiti itu telah bergabung menghasilkan rumah pasang siap yang mudah dibina dikenali sebagai sistem RTA (ready-to-assemble).

Ini merupakan sistem alternatif untuk menyediakan rumah berkualiti dengan cepat pada kos yang rendah khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan penduduk kampung.

Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina UM, Prof. Madya Dr. Yahaya Ahmad berkata, kaedah itu mungkin baru di negara ini tetapi ia banyak diamalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Katanya, pembinaan RTA memakan masa yang pantas dengan sebuah rumah tiga bilik mampu disiapkan dalam tempoh kurang seminggu.

“Ia terbukti melalui kajian bersama penduduk di Kampung Tanjung Luar yang mana prototaip RTA berukuran 2.44 x 3.66 meter atau 8.9 meter persegi berjaya dipasang dalam tempoh kira-kira empat jam.
“Oleh itu kita menjangkakan sebuah rumah berukuran 7.32 x 9.14 meter atau 66.9 meter persegi dapat disiapkan dalam masa seminggu,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan kajian sistem RTA di Kampung Tanjung Luar, Kuala Nerang, Kedah, baru-baru ini.

Kajian RTA itu turut dijayakan oleh calon doktor falsafah (PhD) UM, Wan Srihani Wan Mohamad dari Jabatan Senibina UPM. Ia di bawah Skim Geran Penyelidikan Asas (FRGS) UM sebanyak RM60,000.
Projek di Kuala Nerang yang dijalankan selama empat hari itu melibatkan empat fasa. Fasa pertama membabitkan pembinaan RTA oleh golongan muda iaitu mereka yang berusia di bawah 20 tahun. Fasa kedua (bawah 50 tahun), fasa ketiga (campuran bawah 20 tahun dan 50 tahun) dan fasa keempat (golongan veteran).

Kesemua mereka adalah penduduk kampung berkenaan yang tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan rumah.

Setiap hari kumpulan lapan orang bagi setiap fasa akan cuba membina RTA dan catatan masa direkodkan.
Yahya menarik perhatian, selain daripada ciri-ciri fizikal RTA, konsep tersebut turut menerapkan ciri-ciri rohani memandangkan untuk menjayakan pembinaan sesebuah RTA, ia dilaksanakan melalui kaedah gotong-royong dengan sekurang-kurangnya empat orang terlibat dalam usaha itu.

“Kita berharap sistem RTA mampu menyuburkan semangat gotong-royong yang semakin terhakis terutama di kampung yang terkenal dengan semangat itu.

“Pada masa yang sama, oleh kerana sistem ini dijayakan melalui kaedah gotong-royong, kos buruh hampir tiada sekali gus menyumbang kepada penjimatan kira-kira 30 peratus,” ujarnya.

Bercakap mengenai kos, Yahya menyasarkan kos RTA dengan tiga bilik adalah di bawah RM22,000.
Yahya berkata, kajian RTA itu dijangka siap dalam tempoh setahun dan berharap untuk mendapatkan kira-kira RM100,000 lagi untuk melengkapkannya sebelum skim itu dapat direalisasikan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment