Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Pencemaran sungai kritikal


Kanak-kanak wajar diberi pendedahan awal supaya mencintai alam sekitar.


KITA sering merungut apabila air yang mengalir dari dalam paip kotor, berkarat dan mengandungi keladak.
Masyarakat hari ini sering menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselesaan mereka.

Namun sedarkah anda, punca daripada segala masalah itu adalah diri kita sendiri.

Adakah sungai-sungai yang terdapat di kawasan bandar airnya boleh diminum terus tanpa rawatan?

Apa yang pasti, untuk memandang 'isi perut' sungai-sungai ini pun sudah cukup memualkan tekak anda apatah lagi untuk menjadikannya sebagai air minuman.
Rata-rata sungai di kawasan bandar mengalir lesu, dipenuhi sampah sarap akibat sikap ambil mudah sesetengah daripada kita yang suka mengambil jalan pintas dengan membuang sampah ke dalamnya.

Hal demikian belum ditambah lagi dengan pembuangan sisa domestik serta pihak industri yang dialirkan terus ke dalam sungai tanpa sebarang rawatan.


Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris, sungai di negara ini boleh dibahagi kepada lima kelas.

"Kelima-lima kelas sungai ini ditentukan melalui kualiti airnya.
"Ini bermaksud, sungai kelas satu memiliki kualiti air yang sangat bersih dan boleh diminum terus tanpa memerlukan rawatan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Ahmad Zaharin, malangnya sungai kelas satu di negara ini semakin berkurangan akibat tekanan pencemaran yang semakin meningkat.

Malah sungai bagi kelas ke tiga sehingga ke kelas lima semakin meningkat saban tahun.
Pelbagai faktor menyumbang kepada berlakunya pencemaran sungai antaranya penggunaan tanah dan sisa buangan.

Penggunaan tanah adalah seperti pembalakan yang mana menyebabkan mendakan (sendiment) daripada permukaan tanah mengalir ke dalam sungai apabila hujan.

Bagi kawasan pertanian, air hujan yang mengalir dari kawasan ini ke dalam sungai kebiasaannya membawa bersama larutan baja dan racun.

Ia bukan sahaja menyebabkan air sungai tercemar malah turut membunuh hidupan akuatik yang terdapat di dalamnya.

Sehingga kini kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM500 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk tujuan pemuliharaan serta pemulihan sungai yang tercemar di negara kita.
Selain itu, kos yang tinggi juga diperlukan bagi merawat air yang digunakan untuk dijadikan air minuman.
Kadang kala loji rawatan air terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan tidak mampu lagi merawat air yang terjejas teruk akibat pencemaran.

Kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak namun jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing pastinya dana tersebut dapat dialirkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Namun, ramai di kalangan masyarakat hari kini masih tidak menyedari hakikat ini dan hanya pandai menyalahkan pihak-pihak tertentu apabila menghadapi krisis berkenaan bekalan air.

Justeru apakah peranan yang perlu dimainkan oleh kita sebagai masyarakat yang prihatin dengan alam sekitar dewasa ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Ahmad Ismail berkata, untuk memastikan objektif memulihara serta menjaga sungai tercapai apa yang penting adalah melalui pendidikan.
"Ia patut didedahkan kepada masyarakat umum seawal di peringkat tadika sehinggalah ke peringkat universiti.
"Tidak salah jika saya katakan bahawa sekiranya mahu ia menjadi realiti pastikan minda masyarakat kita diubah bermula daripada sekarang," ujar beliau.

Selain itu, penglibatan serta sokongan daripada komuniti setempat juga amat diperlukan.
Sebagai contoh, setiap aktiviti pembersihan, penjagaan serta pemuliharaan sungai perlu dilakukan bersama penduduk setempat serta pihak kerajaan agar mereka dapat menghargai sungai.
Jelas Ahmad Ismail lagi, bagi para pelajar sekolah, program seumpama itu boleh dimuatkan dalam aktiviti kokurikulum sekolah.

" Ia bukan sahaja dapat membentuk para pelajar yang memiliki daya kreativiti tinggi malah dapat menambah daya kefahaman mereka dengan kerja-kerja lapangan," katanya.

Selain itu, setiap sekolah juga boleh menubuhkan kelab khas dan menjadikan sungai sebagai sungai angkat dan program pemulihannya dapat dijalankan secara berterusan.

Sehubungan itu masih belum terlambat bagi kita sebagai rakyat negara ini untuk berubah dan memastikan sungai-sungai yang kini mengalir lesu, kotor dan menjijikkan kembali bersih.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment