Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

SENG HENG (kiri) melancarkan produk terbaru Nippon Paint yang termasuk dalam Rangkaian Pilihan Hijau kerana mesra alam.

HIDUNG terasa pedih sehingga timbul rasa kurang selesa adalah antara kebiasaan apabila memasuki rumah baru yang dicat. Walaupun ia menimbulkan situasi yang kurang menyenangkan, namun terpaksa diterima kerana hampir kebanyakan cat meninggalkan bau selepas digunakan.

Menyedari situasi itu, jenama cat terkenal di Malaysia, Nippon Paint melancarkan cat generasi baru, Nippon Odour-Less Air Care, satu inovasi yang bukan sahaja menyegarkan udara, bahkan menggunakan teknologi mesra alam yang boleh menyerap formaldehid berbahaya.


Menurut Pengarah Urusan Nippon Paint (Malaysia) Sdn. Bhd., Yaw Seng Heng, pihaknya sentiasa menyokong inisiatif dalam menggalakkan pelestarian terhadap alam sekitar.

"Sejak tahun 2006 lagi, kami memulakan langkah proaktif dalam industri cat dengan melancarkan cat tanpa bau pertama, iaitu Nippon Odour-Less Premium All-in-1. Ia juga produk hampir sifar sebatian organik meruap (VOC).

"VOC adalah pencemar udara yang membahayakan alam sekitar dan kesihatan kita. Sejak itu, semua inovasi baru kami adalah amat rendah VOC.

"Justeru, kami berbangga untuk memberitahu bahawa Rangkaian Pilihan Hijau Nippon Paint Malaysia menawarkan variasi lengkap cat mesra kesihatan dan mesra alam untuk konkrit, kayu dan logam," ujarnya ketika melancarkan cat tersebut baru-baru ini.

Sebagai pengiktirafan dalam usaha untuk mempromosi dan membaiki kelestarian alam sekitar dalam industri cat, Nippon Paint menjadi satu-satunya syarikat cat di Malaysia yang menerima anugerah berprestij, Anugerah Kecemerlangan Hijau daripada Frost & Sullivan pada tahun 2009.

Nippon Odour-Less Aircare dicipta dengan formula khusus yang boleh disapukan pada permukaan dinding dalaman. Apabila Aircare bertindak balas dengan formaldehid berbahaya, ia akan menukarkannya kepada wap air, di samping menguatkan lapisan cat. Justeru udara kekal segar dan bersih di dalam rumah.
Formaldehid adalah pencemar udara yang sentiasa terdapat dalam semua rumah dan bangunan. Ia dibebaskan ke dalam udara daripada sumber-sumber seperti perabot, permaidani, lantai, almari dan kertas dinding.

Pendedahan berterusan kepada formaldehid boleh mengakibatkan kerengsaan kulit dan hidung, asma serta masalah pernafasan lain.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), had maksimum formaldehid dalam ruang kediaman ialah 0.1 ppm (bahagian setiap juta) atau 0.12mg/m3. Tahap yang lebih tinggi boleh memudaratkan kesihatan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Kanan, Unit Kesihatan Alam Sekitar dan Pekerjaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Juliana Jalaludin, dia mendedahkan bahawa pencemaran udara dalam rumah dan bangunan telah menjadi ancaman umum di Malaysia.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa pencemar udara seperti formaldehid dalam rumah dan bangunan sukar dikesan kerana ia tidak boleh dilihat, tiada warna dan pengeluarannya yang berterusan adalah di tahap yang rendah.

Oleh yang demikian, orang ramai kurang menyedari bahawa pendedahan kepada pencemar ini boleh menimbulkan masalah kesihatan.

"Dengan wujudnya budaya R&D Nippon Paint yang kuat, kami telah berjaya menghasilkan beberapa produk mesra alam yang menjadi perintis dan membolehkan kami mendapat pengiktirafan sebagai pakar cat," jelas Seng Heng.

Antara keistimewaan lain cat ini ialah ia dicipta untuk memberi perlindungan dan prestasi tinggi kerana tahan kulat, tahan sental dan mudah dibersihkan. Produk ini juga antibakteria dan bebas daripada logam berat dan ammonia.

Di samping itu, cat ini termasuk dalam Rangkaian Pilihan Hijau Nippon Paint yang disahkan Green Label Singapore iaitu pensijilan yang diberikan kepada produk mesra alam yang menepati piawaian ekologi selain Label Eko SIRIM yang diluluskan kerana mematuhi Piawaian 019 SIRIM bagi kategori cat.

Harga runcit yang disyorkan bagi setiap tin lima liter ialah RM133. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.nipponpaint.com.my.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0623&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment