Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .


UTUSAN: Apakah signifikannya pemansuhan skim geran bagi menggantikan skim pinjaman mudah pada tahun ini?

HAFSAH: Ini membawa maksud SMECorp kini lebih bersifat selektif. Kami hanya memilih syarikat yang benar-benar layak untuk diberi pinjaman. Sebelum ini, mereka (PKS) yang menggunakan geran kerajaan telah menjalankan perniagaan sambil lewa. Jadi, kita memandang serius masalah ini dan mahu mereka menjalankan perniagaan yang lebih berhemah dan mempunyai integriti.


Adakah pemansuhan itu disebabkan oleh kegagalan skim pemberian geran mencapai matlamatnya?
Saya tidak boleh bercakap mengenai gagal atau tidak berikutan pencapaian itu belum dapat diukur dengan sebenar-benarnya lagi. Cuma, kalau boleh dibuat perbandingan kepada satu program yang dibuat SMECorp sebelum ini, di bawah pakej rangsangan kerajaan, SMECorp diperuntukkan sebanyak RM6.75 juta untuk membantu merangsang vendor-vendor di dalam sektor automotif. Bila diukur setelah penyaluran itu dibuat, kami dapati produktiviti syarikat-syarikat tersebut meningkat dan terdapat penjimatan kos. 

Bagaimana had ukuran itu dibuat?
Pada setiap bulan SMECorp berjumpa dengan lebih 15 kementerian yang terlibat dengan pengagihan dana PKS, mereka telah pun menyiapkan had ukuran atau parameter iaitu dari segi penjimatan ruang, tenaga kerja, keuntungan, produktiviti dan capaian pasaran. Semua itu kita ukur. Jadi kesemua lebih 15 kementerian itu perlu bekerjasama dengan agensi masing-masing berdasarkan apa yang ditetapkan oleh SMECorp.

Apakah hasil pemantauan itu?
Terlalu awal untuk kita meletakkan ada impak atau tidak. Selalunya, kita mengambil masa selama setahun untuk membuat ukuran impak. Kementerian-kementerian tersebut telah diberi tools dan mereka akan melaporkan kepada saya setiap dua kali setahun. Saya akan menerima laporan impak setiap enam bulan sekali. Jadi bulan depan, baru saya akan dapat laporan itu.

Kenapa pelaksanaan seumpama ini tidak dilakukan sebelumnya?
Dahulu, pengukuran cuma untuk program-program PKS di bawah SME corp sahaja. Ia tidak menyeluruh.

Sejauh mana pentingnya pengukuran ini?
Di bawah kaedah pengukuran baharu ini, kementerian-kementerian terbabit tidak boleh lagi enjoy seperti dahulu. Tiada lagi 'lawatan sambil belajar' kerana semua itu perlu diukur perbelanjaannya. Walaupun terdapat PKS atau kementerian mengadakan latihan untuk kakitangan, keberkesanan latihan itu juga kena diukur melalui borang impak yang diedarkan oleh SME Corp. Setakat ini, Pengurusan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) mengikutinya. Jika tidak, sayang duit kerajaan akan melayang macam itu sahaja. Semua itu duit kita, duit cukai kerajaan. Setiap sen perlu dikira. Kalau boleh, saya mahu tahu apa yang dilakukan pada setiap sen yang dilaburkan.

Berikutan pemansuhan geran mulai tahun ini, adakah tumpuan SMECorp berubah?
Para pegawai kami telah dipersiapkan dengan sebaiknya bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dengan memberi nasihat dan bimbingan perniagaan. Mereka baru selesai menjalani latihan selama tiga tahun daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun untuk menjadi kaunselor perniagaan terbaik PKS. SMECorp akan memantau secara lebih kreatif terhadap pinjaman yang diberikan kerajaan supaya ia dapat dimanfaat sebaik-baiknya. Perkara paling penting adalah pulangan daripada pinjaman yang diberikan.

Adakah kesemua penyaluran dana kini di tangan SMECorp?
Tugas SMECorp hanya memantau tetapi tidak mengambil-alih tugas kementerian-kementerian itu menyalurkan dana mereka (kementerian). SMECorp kini berperanan sebagai pusat koordinasi PKS dan memantau terus dana-dana PKS yang disalurkan di bawah lebih 15 kementerian ini. Kami mengukur impak dana tersebut kepada PKS.

Bagaimana kaedah pengukuran ini dilakukan?
Kami namakan kaedah pengukuran ini sebagai SKOR dan ia dicipta rakyat kita sendiri, hasil perahan otak pegawai SMECorp terdiri daripada orang Melayu tanpa mengikut mana-mana model.

Apakah bentuk ukuran SKOR terhadap PKS dan kementerian?
Dalam skor yang kami perkenalkan, ia mesti diberi ukuran bintang dalam tujuh parameter termasuk dalam aspek prestasi kewangan, pengurusan, tenaga kerja, capaian pasaran dan teknologi. Setiap syarikat atau kementerian perlu melepasi sekurang-kurangnya tiga bintang kerana ia merupakan tahap minimum berdaya saing.

Oleh kerana ia masih baru, tidakkah integritinya dipersoalkan?
Pada mulanya, kami mereka bentuk SKOR ini secara main-main sahaja, dibuat sedikit demi sedikit dan SMECorp telah mempatenkan model skor ini pada tahun lalu. Oleh kerana ia berfaedah, banyak pihak yang mahu meminjam model berkenaan. Malah, Bank Dunia turut berminat dengan apa yang kami lakukan. Namun, ini masalahnya kepada masyarakat kita di negara ini, hasil buah tangan anak pribumi tidak mendapat pengiktirafan. Perkara yang sama menjadi keluhan syarikat-syarikat berinovatif di sini. Syarikat-syarikat ini berjaya dan dikenali di luar negara, tetapi sukar mendapat pinjaman bank tempatan bagi tujuan memajukan syarikat masing-masing.

Kenapa Datuk berkata demikian?
Sebagai contoh, model SKOR kita pernah memasuki pertandingan Anugerah Inovasi untuk sektor awam, kami tidak menang untuk anugerah itu. Tetapi di peringkat antarabangsa, kami telah diberi pengiktirafan dari Washington, Amerika Syarikat. Mereka mengiktiraf keupayaan kami. Ini yang tidak boleh difahami kerana model SKOR ini diperbuat oleh anak bangsa kita sendiri.

Sikap tidak mengiktiraf hasil anak bangsa kita perlu ditukar segera. Saya ambil contoh kes pereka kasut tempatan bertaraf antarabangsa, Jimmy Choo. Sebelum ini, rekaannya tidak mendapat pengiktirafan di negara ini. Setelah dia berhijrah ke United Kingdom dan kasutnya dipakai oleh Puteri Diana dan artis-artis barat, barulah produknya menerima pengiktirafan yang baik.

Jadi bagaimana boleh kita menukarkannya?
Ini adalah masalah mentaliti masyarakat di negara ini bahawa setiap barangan import adalah terbaik. Jika boleh, saya ingin menukar persepsi tersebut. Berikutan itu, saya di SMECorp akan menjalankan penjenamaan semula logo SMECorp pada bulan depan.

Selepas melahirkan SKOR, apakah tindakan yang akan dilaksanakan SMECorp?
Kami mahu membuat anjakan paradigma PKS di negara ini iaitu daripada berstatus dua bintang kepada tiga bintang. Sebagai langkah awal, para pegawai kami akan menyediakan model perniagaan dan perancangannya. Mereka akan menyiapkan prototaip perancangan perniagaan untuk PKS. Oleh itu, PKS tidak lagi perlu berasa bimbang kerana SMECorp akan memberi panduan yang lebih baik.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Labels:

0 Responses so far.

Post a Comment