Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

KUALA LUMPUR 20 Jun – MTD Group, pengendali jalan bertol kedua terbesar Malaysia, sedang sibuk membina lebuh raya baharu di dalam dan di luar negara tetapi ini tidak bererti ia tidak mengintai peluang untuk menceburi perniagaan prasarana lain.

Bagaimanapun, negara-negara tumpuannya tetap negara tempat ia bertapak kukuh termasuklah Filipina, Indonesia dan Sri Lanka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmil Khalid, berkata kumpulan itu tidak akan melebarkan sayapnya ke negara-negara lain kerana “kami perlu menyudahkan apa yang sedang kami lakukan terlebih dahulu”.


Kumpulan itu juga tidak mahu membebankan lembaran imbangannya dan tidak mempunyai tenaga manusia yang mencukupi untuk ditempatkan di projek-projek lain, katanya kepada Bernama di Manila pada upacara memecah tanah bagi sambungan Lebuhraya Luzon Selatan (SLEX) sepanjang 50 kilometer baru-baru ini oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo.

MTD Capital Bhd. memiliki 80 peratus kepentingan ekuiti dalam pemegang konsesi lebuhraya itu, South Luzon Tollway Corporation.

Di Malaysia, MTD juga memegang konsesi bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan sambungannya, Lebuhraya Pantai Timur, Lebuhraya Hubungan Timur Barat dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Secara tergabung, projek-projek ini menyumbang kira-kira 50 peratus kepada pendapatan kumpulan itu.
MTD adalah sebahagian daripada konsortium yang diterajui Malaysia, yang diberi konsesi lebuh raya selama 30 tahun di Andhra Pradesh, India.

Azmil berkata, kumpulan itu sedang melaksanakan projek jalan bertol di Indonesia dan China dan kini di peringkat akhir rundingan bagi usaha niaga di Sri Lanka.

Dalam perniagaan konsesi lebuh raya, kata beliau, lebuh raya yang lebih panjang tidak semestinya memberikan pulangan lebih baik.

“Ada kalanya, jarak lebih dekat ada banyak lalu lintas. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sepanjang 60km lebih menguntungkan daripada Lebuhraya Timur Barat sepanjang 170km,” katanya.

Kata beliau, kumpulan itu memasuki Filipina dan Indonesia kerana kedua-duanya memiliki paling ramai penduduk di rantau ini. Begitu juga India dan China.

Bagi Sri Lanka, katanya, ia melibatkan pembinaan lebuh raya utama dari Colombo ke Kandy, dua bandar terbesar di negara itu, seperti Kuala Lumpur ke Ipoh.

“Bila kita bercakap tentang masa depan, dengan empat jalan bertol di Malaysia dan SLEX, sumbangannya mungkin mencapai 65 peratus hingga 70 peratus, tetapi, kami tidak tahu berapa banyakkah sektor pembinaan boleh menyumbang kepada pendapatan kumpulan. Pembinaan adalah satu daripada perniagaan teras kami,” kata Azmil.

Beliau berkata, MTD, seperti juga mana-mana kontraktor, mahu membida bagi setiap projek, tetapi ia tidak akan membida bagi kontrak bernilai kurang daripada RM20 atau RM30 juta di Malaysia.

“Bagi kami, pasaran seberang laut lebih menarik, kerana kami tiadabanyak persaingan. Di Malaysia, kami tidak mahu bersaing dan membunuh kontraktor lebih kecil yang melaksanakan projek sekolah dan berek polis,” katanya.

Menyentuh prospek lebuhraya baharu, beliau berkata: “Pada pendapat peribadi saya, tidak ada jalan bertol baharu yang menarik di Malaysia.

Ada satu lebuhraya baharu di Lembah Klang yang mencatatkan 30 hingga 40 peratus lalu lintas di bawah paras ramalan,’’

Katanya: “Tidak akan ada satu lagi Lebuhraya Utara Selatan atau Lebuhraya Pantai Timur.”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pada 10 Jun lalu, mengumumkan bahawa 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion telah dikenal pasti bagi pelaksanaan.

Azmil berkata, MTD perlu menilai RMK-10 untuk melihat apa yang ditawarkan kepada syarikat. Bagi projek lebuh raya, katanya, ia sama ada kontrak melalui tender atau konsesi.

Beliau berkata ,sejak lima tahun lalu, MTD memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebuah syarikat pembangunan prasarana selepas berjaya meraih konsesi lebuh raya dan menjadi pemaju harta.
“Ini merupakan keputusan yang dibuat dengan berhati-hati oleh pengurusan kami. Sebuah syarikat pembangunan prasarana harus terlibat dalam pembinaan pelabuhan, loji janakuasa bebas, lapangan terbang dan perkara-perkara sedemikian.

“Tetapi kita perlu memajukan diri melalui pembelajaran. Jadi, kami bermula dengan Sri Lanka,” katanya, sambil menambah bahawa loji janakuasa di negara itu telah berkembang daripada 30 megawat pada mulanya kepada 50 megawat dan kemudian 100 megawat.

Dengan pengalaman itu, katanya, MTD kini menyasarkan Filipina.
Kata beliau, dalam perniagaan pelabuhan, MTD bermula dengan menjadi pengendali pelabuhan arang batu di Indonesia.

“Sekarang kami berpeluang membina pelabuhan lebih besar dan dengan pengalaman itu, kami sekarang boleh menceburi bidang lain dan menjadi pengendali pelabuhan,” tegas beliau.

Menurutnya, kumpulan itu juga mendapati perniagaan arang batu begitu menarik dan akan meneroka peluang dalam bidang ini pada masa akan datang.

Azmil berkata Pelabuhan Cigading di Indonesia akan memulakan operasi Oktober ini. – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_05.htm

Labels:

0 Responses so far.

Post a Comment