Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

PASARAN saham Asia termasuk Malaysia melonjak tinggi semalam seiring kenaikan mata wang masing-masing berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) dan euro, susulan langkah kerajaan China melonggarkan pergerakan yuan.

Mendahului kenaikan semalam adalah Bursa Hong Kong dengan kenaikan Indeks Hang Seng sebanyak 625.47 mata atau 3.08 peratus kepada 20,912.18 mata, diikuti Bursa Shanghai meningkat 72.99 mata atau 2.90 peratus kepada 2,586.21 mata.

Pasaran utama Asia lain menjejaki kenaikan itu dengan Bursa Tokyo meningkat 2.43 peratus; Taiwan (1.9 peratus); Singapura naik 1.84 peratus; India (1.74 peratus) dan Korea (1.62 peratus).

Bursa Malaysia tidak terkecuali apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia melonjak 17.6 mata atau 1.34 peratus kepada 1,335.29 mata, paras tertinggi dalam tempoh sebulan.

Bank of China (BoC) kelmarin mengumumkan bahawa China bercadang akan menamatkan tambatan mata wangnya kepada dolar AS dan beralih kepada pengurusan tukaran berdasarkan sekumpulan mata wang.

Ahli Ekonomi Kanan Capital Economic, Kevin Grice, berkata langkah China melupuskan tambatan kepada dolar AS, akan terus merangsang kenaikan mata wang serantau.

“Kadar tukaran yuan yang fleksibel akan menyebabkan kenaikan mata wang itu berbanding dolar AS, justeru akan meningkatkan permintaan import dari negara Asia oleh kerajaan China.

“Langkah terbaru China itu juga mencerminkan bahawa kuasa besar ekonomi Asia itu yakin dengan ekonominya dan pemulihan ekonomi global. Ia akan menarik aliran masuk modal asing ke Asia, justeru menyokong kenaikan pasaran saham,” katanya dalam nota penyelidikannya semalam.

Ringgit meningkat kepada 3.183 bagi setiap dolar AS semalam, tertinggi sejak 30 April dan mata wang tempatan itu dijangka melonjak ke paras 3.17 dalam minggu ini.

Peniaga berkata, pelabur asing dikesan memasuki pasaran tempatan semalam dengan pembelian kaunter mewah dan berkaitan indeks.

“Ringgit adalah antara proksi kepada yuan selain daripada dolar Taiwan. Apabila yuan meningkat, ringgit juga dijangka meningkat.

“Pelabur asing memasuki pasaran tempatan dengan membeli ringgit dan kemudian dilaburkan di pasaran saham. Mereka yakin akan memperoleh keuntungan berganda daripada kenaikan ringgit dan juga lonjakan pasaran saham,” katanya.

Kenaikan pasaran tempatan semalam turut disokong oleh minat belian ke atas kaunter perladangan susulan pengumuman angka eksport yang lebih teguh untuk 20 hari pertama bulan ini berikutan permintaan menggalakkan dari China.

Pada penutup semalam, Indeks Perladangan naik 110.87 mata kepada 6,328.13.

Kaunter komoditi pula, Sime Darby menokok 17 sen kepada RM8.15, IOI Corporation menambah 14 sen kepada RM5.18 dan KL Kepong lebih tinggi 26 sen kepada RM16.36.

Saham untung mengatasi saham rugi dengan 591 berbalas 161 sementara 208 kaunter tidak berubah, 403 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan menambah kepada 921.005 juta saham bernilai RM1.515 bilion daripada 537.704 juta saham bernilai RM1.16 bilion Jumaat lalu.

Peniaga berkata, pasaran tempatan masih berpeluang untuk terus meningkat bagi menguji paras halangan 1,350 mata dalam jangka terdekat ini.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ulasanpasaran_Pasaranmelonjak17_6mata/Article

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment