Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Perabot kulit telur ke luar negara



SIapa sangka bahan seperti buluh serta kulit telur mampu dijadikan hiasan yang sebegitu indah seperti set perabot ini.



Terfikirkah anda bahawa barang buangan mampu dijadikan kraftangan termasuk perabut bernilai ribuan ringgit?

Barang buangan itu bukannya sekadar logam atau kayu. Malah sisa bahan makanan seperti kulit telur juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan komersial.

Itu yang dibuktikan oleh anak tempatan melalui syarikat MIH Wood Industries Sdn. Bhd. yang mana ciptaannya dipasarkan ke seluruh dunia.
Syarikat yang diterajui sepenuhnya oleh bumiputera itu merupakan sebuah anak syarikat yang bernaung di bawah MIH Group Of Companies.

Syarikat tersebut ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2005 dan kilangnya beroperasi di kawasan perindustrian Parit Jamil, Muar, Johor.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi syarikat tersebut, Md. Rais Md. Saman, MIH menyediakan perkhidmatan pembuatan serta kemasan pelbagai jenis perabot berserta hiasan tambahan.

Namun apa yang menarik adalah bahan-bahan yang digunakan dalam kemasan akhir setiap perabot hasil syarikat ini.
"Antara bahan yang digunakan untuk kemasan akhir pada produk kami adalah seperti kulit telur, buluh dan tempurung kelapa serta ukiran tangan.


" MIH juga turut menggunakan elemen seperti kulit atau cengkerang tiram (mother of pearl), besi dan tanduk," ujarnya ketika ditemui di kilang MIH di Muar, Johor baru-baru ini.
Antara jenis perabot yang dihasilkan adalah set bilik tidur, set ruang makan dan aksesori tambahan.
Setiap kemasan akhir pada perabot juga boleh dilakukan mengikut cita rasa pembelinya.
Ia sekali gus menjadikan perabot MIH begitu istimewa kerana setiap satunya berbeza berbanding yang lain selain keunikannya.

Ketika ditanya mengapakah syarikat tersebut memilih untuk menghasilkan perabot yang berkualiti tinggi, Rais menjelaskan bahawa mereka menyasarkan untuk pasaran luar negara.

Bagi mereka adalah agak sukar untuk memasarkan produk tersebut dalam negara kerana terpaksa bersaing dengan syarikat yang sedia ada yang lebih kukuh jualannya.

Tambahan pula katanya, kadar pendapatan isi rumah di negara ini juga adalah pada tahap sederhana justeru adalah agak sukar untuk memasarkan perabot yang berkualiti pada harga yang terlalu tinggi.

Jika di luar negara, MIH menerima tempahan mahupun tawaran daripada hotel serta resort yang kebiasaannya memerlukan koleksi perabot unik dan tampak elegan.

Bagi menghasilkan bentuk asas perabot, MIH akan menggunakan mesin namun, bagi sentuhan terakhir, hiasan serta kemasan akhir ia hanya dilakukan oleh manusia.

"Sebagai contoh kemasan seperti kulit telur pada lapisan luar perabot ia merupakan kerja yang amat rumit dan perlu dilakukan dengan penuh teliti.

"Proses menghasilkan kemasan seperti itu juga memakan masa yang agak lama bergantung kepada saiz lapisan yang diinginkan oleh pembeli.

"Kami di pihak MIH juga terpaksa melatih para pekerja dalam masa yang agak lama sehingga mereka benar-benar mahir dan mampu mencapai tahap kualiti yang telah ditentukan," ujar Rais.

Kemasan yang menggunakan tempurung kelapa pula perlu dipotong berbentuk dadu atau pada saiz yang kecil agar mudah untuk dilekatkan pada perabot.

Sejenis resin kayu akan digunakan bagi memastikan kepingan kecil tempurung kelapa tersebut dapat dilekatkan dengan kemas.

Ia kemudiannya akan digilap atau digosok dengan menggunakan kertas pasir sehingga menyerlahkan corak tempurung yang amat menarik.

Kebanyakan produk daripada syarikat tersebut dieksport ke negara-negara Eropah dan Asia dan permintaan terhadap hasil seni tersebut sangat tinggi.

Ketika ditanya apakah cabaran paling besar bagi syarikat tersebut dalam menghasilkan perabot, Rais memberitahu, pihaknya agak sukar untuk mendapatkan pekerja yang benar-benar mahir dan kreatif.
"Ia seolah-olah berkarya, sebagaimana seorang pelukis melakarkan lukisan mereka.

"Kita juga memerlukan lebih ramai pekerja yang berbakat dan memiliki kemahiran dalam seni ukiran dan reka bentuk," katanya.

Menurut beliau lagi, MIH turut menawarkan pakej dekorasi perabot pada ruangan bilik tidur, ruang makan serta ruang tamu kepada pelangan.

Jelas Rais, para pelanggan boleh menempah perabot lengkap bersama aksesori tambahan bersesuaian dengan ruang yang ingin diubah suai.

Sebagai contoh, jika pelanggan ingin mengubah suai ruang bilik tidur dengan perabot yang bertepatan, MIH sedia memberikan perkhidmatan tersebut melalui khidmat nasihat serta pandangan.

Kebiasaannya, para pelanggan agak sukar untuk mendapatkan perabot yang benar-benar memenuhi cita rasa serta kesesuaian ruangan yang ingin dihiasi.

Namun melalui MIH semuanya dapat diselesaikan dengan mudah kerana proses penghasilan perabotnya lebih fleksibel.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut anda boleh melayari laman web syarikat tersebut di www.mihwood.com atau menghubungi terus ke talian 03-82101015.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm

0 Responses so far.

Post a Comment