Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Merintis sistem pengawalan ikan sungai


Fauzi Da'ain (kiri) menunjukkan kepada Junaidi Che Ayub dan Mohamad Mat Saman (kanan) antara alatan yang tidak dibenarkan dalam proses penangkapan ikan di Kuala Serau, Lipis, Pahang baru-baru ini.


KERAKUSAN manusia akhirnya membinasakan diri sendiri... Mungkin itu ungkapan terbaik ditujukan kepada segelintir rakyat negara ini yang tidak menghargai sumber alam semulajadi yang di kurniakan Tuhan.

Mengapa penulis berkata demikian? Lihat sahaja sungai-sungai yang terdapat kini mengalir lesu tidak bermaya.

Penghuni 'perut'nya kini juga menyepikan diri akibat ketamakan manusia yang mahukan keuntungan dengan mudah dan cepat.

Jika dahulu kita boleh melihat pelbagai jenis ikan berenang bebas dan menjadi sumber makanan utama kini semakin berkurangan akibat di bom, tuba dan dituai tanpa had.


Menyedari hakikat tersebut, Persatuan Belia Kampung Kuala Serau bersama Jabatan Perikanan Pahang telah mengambil inisiatif menjayakan program Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP).

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub, penubuhan komuniti tersebut bertujuan memastikan penjagaan sumber ikan di sesebuah sungai itu terjamin.

"Ia sekali gus membantu kerajaan menangani isu jaminan dan keselamatan makanan.

"Selain itu, kita juga harus merevolusi minda masyarakat ke arah pengurusan dan eksploitasi sumber secara mampan, " katanya ketika di temui pada majlis pelancaran KPSP Kampung Kuala Serau di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

Program KPSP di kampung tersebut adalah projek perintis bagi menyedarkan masyarakat setempat untuk bersama-sama menjaga sumber ikan asli di kawasan tersebut.

KPSP Kuala Serau tersebut merupakan ilham daripada program sistem tagal yang terkenal dan diamalkan di Sabah.

Sistem tagal merupakan satu sistem melibatkan proses penangkapan ikan dilakukan hanya setahun sekali pada bahagian tertentu sahaja.

Pada hari biasa kawasan tersebut akan di tutup untuk sebarang aktiviti penangkapan bagi memastikan ia dapat membiak dengan baik.

Terletak di Hulu Sungai Jelai, Lipis, Kuala Serau merupakan perkampungan Melayu tradisional dan bergantung hidup dengan sumber pertanian seperti getah, perikanan ikan dalam kolam dan ikan sungai.
Dalam mengekalkan sumber semulajadi yang terdapat di kawasan ini, Jabatan Perikanan telah mencadangkan agar satu program pengurusan dan pemuliharaan segera dilaksanakan.

Jelas Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Mohamad Mat Saman, program tersebut adalah bertepatan dengan Kaedah-Kedah Perikanan (Perairan Sungai 1991) Negeri Pahang.

"Kesan daripada konsep tersebut, sumber ikan bagi sungai ini dapat dikekalkan seperti sediakala.
"Sementara itu, ikan yang hampir pupus juga dapat membiak secara semulajadi serta keindahan sungai tetap terpelihara," katanya.

Seramai 17 orang terdiri daripada masyarakat kampung tersebut dilantik bagi mengawal dan memantau keadaan sungai secara sukarela.

Sementara itu, Pengerusi KPSP kampung tersebut, Fauzi Da'ain berkata melalui program pengurusan itu, sungai Serau telah dibahagikan kepada tiga zon.

''Zon pertama merupakan zon larangan terhadap sebarang proses penangkapan ikan.
"Di kawasan ini, ikan dibiarkan bebas untuk membiak dan merupakan kawasan pemuliharaan, " ujarnya.
Manakala zon kedua untuk tujuan eko-pelancongan seperti aktiviti memberi makan ikan, terapi ikan dan sesi mandi bersama ikan.

Seterusnya zon ketiga untuk aktiviti penangkapan dan hanya peralatan yang dibenarkan sahaja digunakan bagi proses tersebut.

Antara peralatan yang digunakan adalah jala, jaring dan pancing selebihnya adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Apa yang menarik, sistem pengurusan ini merupakan yang pertama seadanya dilakukan di kawasan Semenanjung Malaysia.

Jelas Fauzi, pihaknya telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak Jabatan Perikanan terutamanya bagi mengayakan sumber ikan di sungai tersebut.

"Pihak jabatan banyak membantu dalam menyumbangkan benih-benih ikan seperti kelah, lampam, baung dan pelbagai lagi.

"Jadi tugas kami hanya memantau sekiranya ada pihak luar yang cuba menangkap ikan secara berleluasa dan menggunakan kaedah yang terlarang.

"Selain itu, kami juga hanya perlu memastikan setiap zon dijaga dengan rapi dan segala peraturan di patuhi," katanya.

Setelah beberapa tahun program tersebut dilaksanakan, ia memberikan impak yang positif apabila sumber pendapatan dan ekonomi penduduk sekitarnya meningkat.

Ia berdasarkan hasil 'perut' sungainya yang semakin bertambah, sektor perlancongan serta perusahaan kraftangan yang diusahakan sebagai produk tambah nilai.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment