Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

MASALAH kebocoran data penting pelanggan yang berurusan dengan institusi kewangan sudah lama disuarakan oleh pelbagai pihak dan pernah mencetuskan perdebatan hangat di dada-dada akhbar beberapa tahun lalu.

Isu berbangkit ketika itu kerana gejala kebocoran maklumat pelanggan begitu berleluasa sehingga pihak berkepentingan termasuk syarikat insurans dan ah long dapat mengetahui maklumat sulit pelanggan sesebuah bank.

Berdasarkan aduan, banyak di kalangan orang ramai merasa hairan betapa mudahnya data-data peribadi dibocori termasuk nombor telefon bimbit dan maklumat mengenai hutang mereka dapat diketahui oleh pihak lain.

Ketika tercetusnya isu tersebut, ada yang menuding jari dan mengaitkan punca masalah itu kepada perkhidmatan maklumat kredit yang disediakan oleh syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS).

Walaupun kontroversi itu sudah lama reda, tetapi masalah kebocoran maklumat kredit pelanggan masih terus berlaku sehingga ramai yang mungkin menjadi mangsa kepada keadaan itu seperti nama mereka telah disenaraihitamkan untuk membuat pinjaman bank.

Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan langkah terbaru kerajaan untuk menyekat gejala itu melalui penubuhan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).

SPDP diperkenalkan bertitik-tolak kepada saranan pelbagai pihak sebelum ini agar kerajaan segera mewujudkan Akta Perlindungan Data Peribadi berikutan kontroversi CTOS.

SPDP yang bakal beroperasi tahun depan tidak akan membenarkan lagi syarikat rujukan kredit menyimpan data peribadi orang ramai tanpa kebenaran bertulis daripada mereka.

Antara data peribadi terbabit ialah data kebangkrapan, kewangan, perkahwinan dan kesihatan.

Penubuhan suruhanjaya itu tentunya memberi kelegaan kepada rakyat yang telah lama menunggu kerajaan atau Bank Negara berbuat sesuatu agar kepentingan hak mereka sebagai pelanggan tidak mudah diceroboh tanpa pengetahuan mereka.

Dengan meluasnya penggunaan Internet dan teknologi maklumat yang semakin canggih, gejala penipuan melalui maya semakin terbuka luas.

Tidak hairan jika media massa kerap mendedahkan kes-kes orang ramai kehilangan wang simpanan melalui akaun bank mereka atau kad kredit mereka disalahgunakan atau diklon oleh pihak lain.

Begitu juga dengan ancaman daripada pihak-pihak termasuk sindiket antarabangsa yang menipu orang ramai melalui penyebaran SMS yang menjanjikan ganjaran atau hadiah lumayan. Persoalan timbul bagaimana sindiket terbabit boleh mengetahui nombor telefon bimbit mangsa mereka.

Melihat kepada pelbagai ancaman penipuan yang kini dihadapi oleh orang ramai, skop tugas SPDP perlu dikembangkan bagi melindungi hak-hak pengguna.

SPDP wajar menetapkan peraturan ketat kepada syarikat-syarikat telekomunikasi agar maklumat mengenai nombor telefon orang ramai tidak boleh 'dicuri' oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menipu mereka.

Selain syarat ketat, hukuman berat perlu dikenakan ke atas semua pihak yang melanggar akta baru tersebut.

Kita berharap melalui penubuhan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi pada tahun depan, hak-hak rakyat sebagai pengguna akan lebih dilindungi dan dihormati termasuk oleh institusi kewangan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Labels: , ,

0 Responses so far.

Post a Comment