Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

SUNGAI PETANI 27 Jun - Inang Suri Sdn. Bhd. (Inang Suri), syarikat mengeluarkan produk makanan yang dihasilkan golongan orang kurang upaya (OKU) di Bengkel Daya di sini, merancang meneroka pasaran baru di Filipina menjelang suku terakhir tahun ini.

Pengurus Besar Inang Suri, Hazleen Syahfiza Mansor berkata, syarikatnya mula meninjau peluang untuk mengeksport produk makanan seperti coklat dan kuih-muih sejak beberapa bulan lalu berikutan permintaan yang baik bagi pasaran halal di Filipna.

Katanya, buat permulaan, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Muslim Filipina dan Pejabat Datuk Bandar Kota Manila melalui Malaysian Trading House Corporation untuk mengembangkan perniagaan di negara itu.


"Filipina berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan syarikat memandangkan produk makanan halal belum lagi dipasarkan secara meluas.

"Berdasarkan makluman daripada pihak berkuasa Islam di sana, produk Malaysia mendapat sambutan amat baik kerana menepati ciri-ciri dan piawaian halal," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembekalan produk antara pihaknya dengan Pejabat Pesuruhjaya Muslim Filipina dan Syarikat Seaswift Logistic Filipina di Bengkel Daya Sungai Petani, di sini.

Hadir sama ialah Wakil Pesuruhjaya Muslim Filipina bagi Wilayah Ibu Kota, Prof. Munir Ahmed Bajunid; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Trading House Corporation Manila, Murad Nadio dan Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Ahmad Rashid.

Menurut Hazleen Syahfiza, antara produk makanan yang akan menembusi pasaran Filipina menjelang bulan September ini ialah coklat.

"Produk coklat ini dihasilkan sepenuhnya oleh golongan OKU di bengkel seliaan JKM. Menerusi peluang perniagaan sebegini, kita bukan saja memasarkan produk tetapi dapat membantu mengubah nasib OKU kepada tahap lebih baik," jelasnya.

Beliau berkata, bagi membolehkan produk tersebut diterima baik, khususnya di pasaran luar negara, pihaknya juga akan berusaha meningkatkan kualiti dan pengeluaran dalam tempoh terdekat.

"Apa yang kita pentingkan sekarang ialah dari aspek kualiti, ketepatan jangkaan penghantaran dan pematuhan kepada piawaian," jelasnya.

Dalam pada itu, Murad berkata, produk Malaysia khususnya makanan mendapat sambutan amat memberangsangkan memandangkan ia mempunyai pensijilan halal.

"Produk halal ini bukan saja diterima oleh orang Islam tetapi digunakan secara meluas di kalangan rakyat pelbagai agama di Filipina.

"Bagi Malaysia, kita sememangnya mempunyai kelebihan kerana pensijilan halal diiktiraf antara terbaik di dunia," jelasnya.

Sementara itu, Munir memberitahu, para usahawan Malaysia digesa meneroka peluang-peluang dalam pasaran produk dan perkhidmatan di Filipina kerana terdapat potensi cerah yang ditawarkan di sana.
Beliau berkata, salah satu bidang yang berpotensi adalah mengadakan restoren makanan halal yang sukar didapati khususnya di Manila.

"Memang sukar untuk mencari produk makanan apatah lagi restoran halal di Manila. Jika semua ini dapat disediakan syarikat Malaysia, saya yakin permintaannya sangat tinggi.

"Saya berharap lebih banyak syarikat tempatan akan pergi ke Filipina untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka dalam bidang ini," kata beliau.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_03.htm

0 Responses so far.

Post a Comment