Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika rata-rata perangkaan menunjukkan bahawa golongan kanak-kanak lebih banyak mengalami keracunan ataupun kecederaan akibat menggunakan barangan tersebut. Bukan sahaja kerana barangan itu tidak selamat, tetapi lebih kerap lagi kerana cara penggunaannya juga tidak selamat. Ini ada kaitan dengan amalan serta tabiat kita seharian apabila menggunakan barang-barang tersebut. Lazimnya kita cuai dan kurang berhati-hati sehingga anak-anak kita sendiri sering terdedah kepada bahaya yang tidak menentu.
Oleh itu, demi keselamatan kanak-kanak, satu kesedaran dan kepekaan terhadap beberapa bahaya berkaitan bahan barangan serta produk yang ada di pasaran penting dipupuk di kalangan ibubapa/penjaga ataupun kanak-kanak sendiri. Ini adalah sebaik-baik cara untuk mengatasi dan mencegah daripada berlakunya perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan masyarakat kita.
Kesedaran terhadap bahaya ubat-ubatan
Amnya ramai yang beranggapan bahawa bahan ubat-ubatan adalah selamat belaka. Maksudnya ramai menjangkakan yang bahan ubat-ubatan tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan, malah ia pasti berkhasiat belaka. Ini adalah satu anggapan yang kurang tepat malah boleh menyebabkan banyak keadaan yang tidak diingini, memandangkan bahawa ubat-ubatan kebanyakannya terdiri daripada bahan kimia. Dan jika tidak digunakan dengan betul, seperti memakan ubat berlebihan, ataupun tidak mengikut aturan yang telah ditetap, banyak kesan bahaya boleh berlaku. Ubat boleh membahayakan apabila penggunaannya ditukar ganti kepada sesiapa sahaja, walaupun ubat itu adalah kepunyaan orang lain. Tabiat menggunakan ubat seperti ini amat bersalahan dengan tatacara penggunakan ubat.
Berikut adalah beberapa cara untuk menggelakkan berlakunya bahaya berkaitan dengan ubat-ubatan, khususnya bagi kanak-kanak.
- Simpan semua ubat berjauhan daripada jangkauan kanak-kanak. Ubat-ubatan seelok-eloknya disimpan dalam almari yang berkunci.
- Jangan letak ubat merata-rata terutama jika tidak dalam bekas yang sempurna.
- Simpan ubat-ubatan di satu tempat seperti dalam peti sejuk jika perlu, (jangan bekukan) untuk mengelakkan kekeliruan.
- Gunakan bekas plastik untuk memudahkan simpanan. Tutup bekas plastik ini jika ianya diletakkan ditempat yang boleh ditemui oleh kanak-kanak.
- Sekiranya menghantar kanak-kanak ke tempat asuhan, bawa ubat bersama dalam bekas yang tersimpan dalam beg pakaian dan sebagainya. Jangan masukkan bersama bekas atau beg makanan. Beri ubat itu terus kepada pengasuh secara persendirian.
- Jangan biarkan kanak-kanak bersama ubat-ubatan (termasuk vitamin) tanpa kawalan.
- Pulangkan ubat yang tidak digunakan lagi kepada penjaga/ibubapa apabila tamat masa asuhan.
- Buang semua ubat yang telah habis tempohnya. Jangan simpan ubat yang tidak berguna lagi. Jangan ulangi penggunaan sewenang-wenangnya.
Amalkan tabiat bertanya seperti nama ubat, kekuatan dosnya serta juga nama pengilang atau pengedarnya apabila anda menerima atau membeli ubat. Selain daripada itu tentukan juga apa-apa maklumat khas diperolehi juga. Antaranya adalah seperti kegunaan semasa hamil, atau menyusukan bayi ataupun kesan-kesan sampingan lain. Maklumat seperti ini amat diperlukan semasa kecemasan dan keracunan. Ini boleh membantu menyegerakan rawatan.
Kesedaran terhadap bahaya bahan-bahan pencuci rumahtangga
Seperti ubat-ubatan, kebanyakan rumah ada menyimpan bahan-bahan pencuci, khususnya di kamar-kamar mandi, dapur ataupun setor. Seperti juga ubat-ubatan, ramai yang agak cuai apabila menggunakan bahan tersebut sehingga banyak antaranya terbiar begitu saja - mudah dicapai kanak-kanak. Malah ada yang tersimpan di lantai atau kamar yang tidak berkunci. Kelazimannya, ramai yang beranggapan bahan-bahan ini tidak mendatang bahaya, apalagi setelah digunakan saban hari tanpa banyak keranah. Namun pada hakikatnya bahan-bahan ini tetap merbahaya malah boleh mendatangkan maut.
Contoh-contoh yang dapat diberikan adalah seperti dalam jadual berikut:
Jadual Menunjukkan Bahaya Bahan-bahan Pencuci
Bahan | Kesan-kesan tertentu |
Soda untuk masak (sodium bikarbonat) | Mata: rengsa, kemerahan, nyeri Tertelan: radang tekak, sakit perut Catatan Tambahan Boleh bertindakbalas dengan asid |
Soda untuk basuh (sodium karbonat) | Mata: melecur, penglihatan kabur Kulit: kemerahan, rengsa Tertelan: radang tekak, sakit perut Catatan Tambahan Boleh bertindakbalas dengan asid |
Cecair ammonia (10%) | Mata: rengsa, bengkak, rabun Kulit: melecur, nyeri Terhidu: batuk, sakit dada, radang tekak dan hidung Tertelan: rasa terbakar pada mulut, tekak dan perut, muntah Catatan Tambahan Boleh bertindakbalas dengan asid Jangan campur dengan bahan peluntur |
Bahan peluntur jenis klorin | Mata: melecur, penglihatan kabur Kulit: kemerahan, nyeri, kering, pecah-pecah Terhidu: radang tekak, batuk, sukar bernafas Tertelan: radang tekak, muntah, melecur Catatan Tambahan Boleh bertindakbalas dengan asid atau haba |
Cuka (5% asid asetik) | Mata: rengsa Kulit: rengsa agak ringan Catatan Tambahan Boleh bentindakbalas dengan logam |
Boraks | Mata: rengsa, kemerahan, nyeri Kulit: rengsa, ruam, pecah-pecah Terhidu: batuk, hidung berdarah Tertelan: mual, muntah, pening, rosak buah pinggang |
Oleh yang demikian, bahan-bahan seumpama ini penting disimpan jauh daripada jangkauan kanak-kanak, di atas para-para misalnya ataupun di tempat berkunci. Tentukan juga setiap bahan tersebut tersimpan dalam bekas asalnya yang berkeadaan bersih dan sempurna, tertutup ketat. Pastikan juga anda ketahui nama atau jenis bahan pencuci tersebut kerana apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini maklumat seumpama ini dapat membantu menyegerakan rawatan.
Sumber: http://www.kpdnkk.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=375&Itemid=424
0 Responses so far.
Post a Comment