Pencemaran sungai kritikal
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

|
| Kanak-kanak wajar diberi pendedahan awal supaya mencintai alam sekitar. |
KITA sering merungut apabila air yang mengalir dari dalam paip kotor, berkarat dan mengandungi keladak.
Masyarakat hari ini sering menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselesaan mereka.
Namun sedarkah anda, punca daripada segala masalah itu adalah diri kita sendiri.
Adakah sungai-sungai yang terdapat di kawasan bandar airnya boleh diminum terus tanpa rawatan?
Apa yang pasti, untuk memandang 'isi perut' sungai-sungai ini pun sudah cukup memualkan tekak anda apatah lagi untuk menjadikannya sebagai air minuman.
Rata-rata sungai di kawasan bandar mengalir lesu, dipenuhi sampah sarap akibat sikap ambil mudah sesetengah daripada kita yang suka mengambil jalan pintas dengan membuang sampah ke dalamnya.
Hal demikian belum ditambah lagi dengan pembuangan sisa domestik serta pihak industri yang dialirkan terus ke dalam sungai tanpa sebarang rawatan.