Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan terma kontrak yang tidak adil akan dimasukkan dalam pindaan APP yang dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin.
"(Peruntukan tambahan) APP telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk disemak dan dalam tindakan jabatan itu. Sekiranya sempat bacaan pertama (akan dibuat) pada sesi Parlimen kali ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2010 yang bertemakan 'Wang Kita, Hak Kita' di Pasaraya Giant Bandar Kinrara Puchong, dekat sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata APP dipinda bagi menambah fasal baru berkenaan (terma kontrak yang tidak adil) bagi memberi hak kepada pengguna untuk mencabar penjanjian yang didapati berat sebelah walaupun telah ditandatangani, misalnya pembelian kereta.
Beliau berkata pindaan APP juga akan mengambil kira penubuhan jawatankuasa khas pemantauan pengiklanan bagi mengawal selia bentuk iklan yang mengelirukan pengguna.
Mengulas mengenai cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang tidak dibentangkan bagi bacaan kedua pada Parlimen kali ini, Ismail Sabri berkata kerajaan perlu membuat penelitian terperinci termasuk mendapatkan pandangan dan maklum balas dari rakyat sebelum dilaksanakan sebagai satu dasar negara.
"Kementerian Kewangan akan mendapat input dan maklum balas daripada orang ramai bagi memahami dasar yang dibuat oleh kerajaan...rakyat juga perlu terlibat dalam membuat sesuatu dasar dan kerajaan akan melaksanakan dasar yang tidak membebankan rakyat," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata pembatalan cadangan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi petroleum dibuat bukan strategi untuk memenangi hati rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, sebaliknya untuk menjaga kepentingan rakyat.
Katanya ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sensitif pada setiap kehendak rakyat dan bukannya seperti negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang seperti kerajaan Pulau Pinang yang didakwanya mengetepikan kepentingan rakyat.
Pada 4 Mac lepas, kerajaan membatalkan cadangan untuk mengadakan sistem subsidi minyak berperingkat dan sistem subsidi petrol yang ada akan dikekalkan.
Sumber: Bernama
0 Responses so far.
Post a Comment