Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

ANTARA poster yang memupuk kesedaran orang awam.

SEHINGGA tahun 2008, dilaporkan terdapat 16.9 juta saman kesalahan lalu lintas yang belum dijelaskan oleh pengguna jalan raya dengan nilai kompaun dianggar mencecah RM2.5 bilion.

Dari segi kemalangan, jumlahnya meningkat setiap tahun dan tahun lalu mencatat sebanyak 397,194, kes dengan kemalangan maut berjumlah 6,218 kes.

Rekod itu mendapat perhatian kerajaan. Sehubungan itu, satu mesyuarat khas mengenai kesalahan lalu lintas diadakan baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.


Pada mesyuarat itu beliau memutuskan supaya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan agensi-agensi berkaitan lebih agresif menjayakan kempen keselamatan jalan raya dan tanggungjawab membayar saman lalu lintas.

Tujuannya ialah untuk membudayakan sikap rakyat supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Sehubungan itu, KPKK membentuk sebuah Jawatankuasa Komunikasi Bersepadu Kempen Keselamatan Jalan Raya untuk membincangkan pelan tindakannya.

Selain memberi kesedaran, paling penting ia bertujuan untuk memupuk sikap kebertanggungjawaban di kalangan pengguna jalan raya supaya menjelaskan bayaran saman lalu lintas dalam tempoh yang ditetapkan.
Kesemua agensi di bawah KPKK digerakkan untuk menjayakannya bersama seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pelajaran.

JPJ telah memasukkan cadangan di dalam rangka pindaan Akta JPJ 1987 bagi mengenakan kompaun minimum RM300 untuk semua pesalah trafik yang liat menjelaskan kompaun mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Jumlah RM300 yang dikenakan sekarang ialah untuk kompaun maksimum. Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, cadangan mengenakan penalti minimum RM300 kepada pesalah ingkar itu untuk mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. "Pengguna jalan raya jangan lakukan kesalahan jika tak nak bayar kompaun atau denda," katanya.


SIKAP bertanggungjawab perlu ada pada setiap pengguna jalan raya.


Pendekatan yang sama juga dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Komunikasi Bersepadu itu untuk memberi peringatan berterusan dan mendidik pengguna mengenai pemanduan berhemah dan tidak melakukan kesalahan trafik sehingga mereka disaman.
Slogan Keselamatan

Sehingga Disember ini, perhatian masyarakat Malaysia akan tertumpu dengan pendedahan pelbagai slogan dan tip keselamatan jalan raya melalui radio, televisyen, media cetak, poster dan skrin di tempat-tempat awam.

Pada sebelah pagi, pendengar radio akan diingatkan dengan slogan seperti Berhati-hati di Jalan Raya, Jangan Jadikan Jalan Raya Tempat Berlumba dan Berhenti Pada Lampu Isyarat Merah pada akhir hebahan.

Setiap hari penonton televisyen akan disajikan dengan crawler di bahagian bawah skrin dengan mesej mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab membayar saman lalu lintas, menyemak kesalahan lalu lintas melalui talian SMS 37773 atau laman web MyEG dan mengelakkan saman dengan mematuhi undang-undang lalu lintas.

Pelbagai treler yang disediakan JKJR juga akan ditayangkan semasa sesi komersial program televisyen termasuk Stop on Red Lights, Celebration, Perayaan (Guna Tali Pinggang), Memandu Pada Pagi Ahad serta treler Jabatan Filem Negara dan Finas yang bertemakan, Bersabar Bertimbang Rasa, Keselamatan Jalan Raya-Bahaya Memandu Laju serta Tip Keselamatan Jalan Raya.

Mesej kempen turut diselitkan pada akhir program popular di RTM seperti, Gerak Khas dan sebelum tayangan sesebuah filem di pawagam.

Tetamu khas
Mesyuarat itu sebulat suara bersetuju supaya tetamu khas dari PDRM, Kementerian Pengangkutan, JKJR, JPJ, Miros dan beberapa pakar undang-undang dijemput pada program bual bicara televisyen di RTM pada Julai bagi membicarakan mengenai keselamatan jalan raya dan tanggungjawab membayar saman. Tetamu pertama ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.


RAKYAT Malaysia perlu dididik berhubung peraturan di jalan raya.


Beribu-ribu risalah dan poster turut dicetak dan diedarkan, malah kompleks perniagaan dan pasar raya juga akan dibekalkan dengan treler Keselamatan Jalan raya dan Tanggungjawab Membayar Saman untuk ditayangkan pada skrin TV awam mereka.

Artikel dan iklan tetap mengenai keselamatan jalan raya juga akan diterbitkan oleh agensi berkaitan di bawah KPKK melalui penerbitan di laman web, majalah, risalah, portal pusat maklumat rakyat (PMR), e-Book dan Papan Elektronik (LED) di Kementerian, Muzium Negara dan Istana Budaya.

Kempen itu memberi penekanan kepada empat perkara iaitu:
*Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
*Mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya wajib kepada semua pengguna jalan raya.
*Mematuhi undang-undang jalan raya akan dapat mengelakkan kes kemalangan, kes kehilangan nyawa, bayaran denda dan hukuman berat. 
*Setiap rakyat harus mendukung kempen keselamatan jalan raya demi kesejahteraan setiap anggota masyarakat.

Kempen juga akan disampaikan melalui program komunikasi bersemuka jabatan di bawah KPKK seperti Penerangan dan Hal Ehwal Khas yang memberi fokus kumpulan sasaran seperti pemimpin masyarakat, institut pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti bestari, kaum ibu dan belia.- Bernama

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Labels: ,

0 Responses so far.

Post a Comment