Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

Dewasa ini pelbagai masalah sosial melibatkan anak-anak dan golongan remaja mula mencengkam masyarakat kita. Kes pembuangan bayi, merokok, merempit, menagih dadah, seks bebas, vandalisme, lari dari rumah dan macam-macam lagi salah laku jenayah sudah cukup untuk merisaukan semua pihak.

Ternyata Ibu bapa dilihat semakin hari semakin hilang kawalan ke atas anak-anak mereka yang semakin nakal dan liar. Mereka juga menghadapi masalah untuk mendidik dan membentuk anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna mengikut acuan yang mereka kehendaki.


Terkini pihak Polis Kuala Lumpur mendedahkan bahawa seramai 3,263 orang pelajar sekolah ditahan pada tahun lalu melibatkan 2,003 kes.

Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terlibat dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan juga mencuri motosikal.

Statistik ini yang dikatakan semakin meningkat setiap tahun sudah cukup untuk membuktikan dan mencerminkan tahap masalah sosial di kalangan remaja di negara kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia yang bebas tanpa sempadan.

Antara punca kepada pelbagai masalah sosial yang melanda golongan belia negara kita pada hari ini ialah pengaruh negatif rancangan-rancangan televisyen yang boleh dikategorikan sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan anak-anak kita sudah mula menguasai minda dan pemikiran mereka dengan nilai-nilai yang jauh bertentangan dengan nilai dan adat ketimuran kita yang kemudiannya mempengaruhi segala tingkah laku mereka dalam kehidupan seharian.

Adengan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterime yang dipaparkan dalam televisyen kita baik melalui drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan telah menjadi guru kepada remaja kita.

Drama-drama sinetron yang berunsurkan tahyul dari seberang dan filem-filem yang ganas dari Barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda para penonton dan itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.

Mereka mencontohi kesemua perlakuan dan gelagat yang dipertonjolkan secara bulat- bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup mereka. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan para sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh yang cukup kuat terhadap penonton dan ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi yang terkenal.

Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial yang kita hadapi pada hari ini dengan pengaruh televisyen ke atas remaja kita, ternyata andaian teori komunikasi tersebut ada kebenarannya.

Ini membuktikan bahawa menonton televisyen pada hari ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika ianya tidak dikawal dan dipantau dengan sewajarnya.

Mengambil kira senario yang membahayakan ini, adalah wajar untuk kita terutamanya para Ibu bapa menyokong kempen 'Minggu Tidak Menonton Televisyen' anjuran Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang akan berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.

FOMCA juga mendedahkan bahawa kajian yang dibuat pada tahun 2005 melibatkan penggunaan peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati golongan muda menghabiskan 73 peratus daripada masa lapang mereka untuk menonton televisyen dan dilaporkan juga bahawa kanak- kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di hadapan peti televisyen masing-masing.

Justeru Ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian yang serius kepada jenis rancangan yang ditonton oleh anak-anak mereka di rumah supaya mereka tidak terdedah dengan rancangan-rancangan yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral masing-masing.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup kita sebagai sumber maklumat tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan kita seisi keluarga.

Dalam hal ini, kita juga berharap agar pihak kementerian dan juga Lembaga Penapisan Filem (LPF) dapat memainkan peranan yang lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama yang kurang sihat ini ke dalam negara kita.

Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen juga banyak mendatangkan kesan buruk pada tahap kesihatan di mana pelbagai penyakit seperti obesiti dan diabetes akan mula mengancam hidup kita kerana kita terlalu pasif dan tidak bergerak aktif untuk suatu tempoh masa yang lama di hadapan kaca televisyen.

Sumber: Utusan Online

Labels:

0 Responses so far.

Post a Comment