Blog KaMi KoNSuMeR

Blog Kami Konsumer adalah merupakan satu alat bagi pelajar-pelajar UMT dan juga orang ramai untuk mendapatkan maklumat pengguna, tips pengguna, dan juga sebagai media untuk menyalurkan pendapat anda. Diharap melalui blog Kami Konsumer "One Stop Centre" semua pengguna dapat menjadi seorang pengguna yang bijak dan berhemat.

info harian

"Jika anda berbohong tentang sesuatu produk, anda akan didapati - baik oleh KERAJAAN, yang akan menghukum anda, atau oleh PELANGGAN, yang akan menghukum kamu dengan tidak membeli produk anda untuk kali kedua .

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Institusi kewangan harus memberi layanan yang lebih adil kepada peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman pembiayaan kenderaan, kata Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Sha'ani Abdullah.

Katanya mereka seharusnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan peminjam yang bermasalah dan bukannya terus menarik kenderaan dan mengenakan bayaran serta syarat yang tidak munasabah yang sekaligus lebih membebankan peminjam.

"Kalau bank rasa seseorang itu layak untuk membuat pinjaman, dan bagi pinjaman, bank juga patut bantu mereka apabila mereka menghadapi masalah.

"Kalau ada tunggakan, bank perlu benarkan mereka bayar secara ansuran baki tunggakan tersebut, dan jangan terlalu tegas mahu peminjam membayar sekaligus tunggakan itu," katanya kepada Bernama di sini hari Isnin.

Mengulas langkah kerajaan untuk meminda Akta Sewa Beli yang akan memastikan institusi kewangan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum menarik kenderaan pengguna, beliau berkata ia merupakan satu langkah baik tetapi perkara lain terutama membabitkan perjanjian sewa beli juga harus dikaji.

"Memang bagus, tapi sebenarnya ia hanya menyelesaikan sedikit masalah yang dihadapi peminjam, kita mahu banyak perkara lain, terutama dalam memastikan pengguna tidak dikenakan bayaran lain yang tidak munasabah.

"Mungkin selepas ini pihak bank akan lebih berhati-hati dalam memberi pinjaman, bagaimanapun langkah ini perlu agar pengguna dapat layanan yang lebih adil dan melindungi mereka," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kerajaan akan meminda Akta Sewa Beli 1967 bagi melindungi hak pengguna, termasuk tidak menjadi mangsa kepada penarik kereta yang bertindak di luar batasan.

Sementara itu, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) memberitahu Bernama, tindakan menarik kenderaan merupakan langkah terakhir yang hanya diambil setelah peminjam gagal membuat bayaran balik pinjaman dalam sesuatu tempoh yang diberi.

Pengarah Eksekutifnya, Chuah Mei Lin berkata sebelum tindakan tersebut diambil, bank-bank ahlinya akan membantu peminjam yang gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman dengan menjadualkan semula akaun mereka agar bayaran balik dapat dibuat semula.

Katanya ABM dan bank-bank ahlinya tidak pernah membenarkan mana-mana penarik kereta berdaftar di bawahnya melakukan tugas mereka dengan cara yang ganas dan tidak beretika.

"Mereka semua tertakhluk kepada garis panduan dan peraturan yang kita keluarkan terhadap mereka.

"Pengguna boleh buat aduan kepada kita di talian 1-300-88-9980 jika ada penarik kereta yang bertindak ganas dan tidak mengikut undang-undang dan tindakan akan diambil terhadap mereka," katanya.

Selain itu, Chuah berkata pindaan terhadap Akta Sewa Beli yang akan dilakukan perlu mengimbangi kepentingan pengguna dan juga risiko yang terpaksa dihadapi oleh pihak bank.

"Kita pernah memberi maklum balas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenai perkara ini dulu dan kita berharap dapat peluang kali ini untuk menyatakan pendapat mengenai perkara ini," katanya.Sumber: Bernama

Labels: , ,

0 Responses so far.

Post a Comment